Polis menafikan dakwaan yang
tersebar di laman sosial kononnya sebuah van polis diletupkan, manakala tiga
anggotanya cedera dalam kejadian di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di ibunegara
semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP
Zainol Samah berkata tindakan mereka yang menyebarkan berita palsu itu hanya
menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
"Van yang terbakar itu
(menerusi gambar yang disebarkan) bukan milik polis dan tiada anggota yang
cedera seperti didakwa," katanya ketika dihubungi Bernama, malam tadi.
Zainol berkata gambar disebarkan
itu adalah kejadian yang berlaku kelmarin (11 Julai).
"Ketika kejadian, pemilik
van itu yang baru tiba dari Kedah telah melalui Jalan TAR, sebelum bahagian
enjin vannya itu tiba-tiba terbakar dan merebak kekeseluruhan kenderaan itu.
Tiada unsur kianat," katanya.
Beliau menegaskan mereka yang
bertindak menyebarkan berita palsu itu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta
Komunikasi dan Multimedia, dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak
melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun
atau kedua-duanya sekali.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan