NICE

Jumaat, 15 Julai 2016

STOK INFLATOR BEG UDARA TAKATA SAMPAI OGOS - HONDA

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia akan mempunyai stok inflator beg udara sebelah pemandu Takata yang mencukupi menjelang pertengahan Ogos bagi proses penggantian bahagian-bahagian yang terlibat dalam panggilan semula.



Honda dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan  Takata Corporation untuk meningkatkan bekalan bahagian-bahagian yang terlibat.

"Alat ganti bagi beg udara sebelah pemandu Takata telah mula tiba sejak minggu lepas dan kami akan memastikan alat ganti ini dihantar kepada semua penjual kami, di seluruh negara secepat mungkin," katanya.

Honda bagaimanapun tidak dapat menentukan bila keseluruhan stok inflator tersebut akan dipenuhi tetapi ia akan memaklumkan kepada pelanggan sebaik sahaja perkara itu dikemaskinikan.

Syarikat juga merancang untuk mengurangkan pengambilan Jadual Perkhidmatan Penyenggaraan Pencegahan para pengedarnya kepada 50 peratus mulai 20 Julai 2016 bagi meningkatkan kapasiti penggantian inflator beg udara.

"Memandangkan keutamaan diberikan kepada penggantian inflator beg udara, kemungkinan Perkhidmatan Penyenggaraan Pencegahan yang normal mungkin tidak dapat dipenuhi," katanya.

Honda juga akan membuka tiga hab pusat sementara bagi meningkatkan lagi keupayaan penggantian inflator beg udara di lokasi yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Hab-hab ini akan beroperasi selama tujuh hari seminggu, katanya.

Honda juga akan membuka hab-hab mudah alih, di seluruh negara, untuk memastikan proses penggantian inflator beg udara dengan lebih cepat dan mudah.
Lokasi dan butiran hab mudah alih ini akan diumumkan tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan