Pages

Selasa, 5 Julai 2016

DBKL PUNYA HAK KE ATAS ARCA PUNCAK PURNAMA


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai hak ke atas Arca Puncak Purnama yang dihasilkan oleh Datuk Syed Ahmad Jamal yang terletak di Bulatan Jalan Sulaiman di sini berikutan keputusan mahkamah.




Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Syed Jamal telah membawa DBKL ke mahkamah berikutan tindakan dewan bandaraya itu menaik taraf arca tersebut pada tahun 1989 menggunakan dana DBKL.

"Lanjutan daripada itu, mahkamah telah membuat keputusan bahawa DBKL perlu membayar pampasan kepada pereka asal, dan selepas daripada itu arca ini telah menjadi milik penuh DBKL," katanya dalam kenyataan media di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian berhubung tindakan DBKL meruntuhkan arca tersebut baru-baru ini berdasarkan beberapa faktor, antaranya DBKL mendapati struktur arca tersebut tidak lagi selamat disebabkan telah usang selain menjadi mangsa musnah laku dan faktor keselamatan kawasan (gangguan penagih dadah/gelandangan).

Tengku Adnan juga berkata sistem pengairan arca ini telah tidak disenggara dan menjadi tempat pembaikan aedes.

"Tapak ini juga merupakan sebahagian daripada projek River of Life yang sedang dalam peringkat pelaksanaan," katanya.

Tengku Adnan berkata arca itu merupakan struktur arca berciri air yang dibina pada tahun 1986 di bawah skim tajaan dan anak angkat UMBC yang pada masa itu ibu pejabat bank itu terletak bersebelahan dengan Taman Mini Puncak Purnama.

"Arca tersebut telah terbiar tanpa jagaan dan penyenggaran selepas itu, dan sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab, DBKL telah menaik taraf arca tersebut pada tahun 1998 menggunakan dana DBKL, namun pereka asal arca telah membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.

Sementara itu, anggota keluarga allahyarham Syed Ahmad Jamal berkata mereka tidak dimaklumkan tentang langkah DKBL itu dan kecewa apabila mendapati arca itu telah diruntuhkan.

Anak Allahyarham, Syed Nabil Jamal memberitahu sidang akhbar di Balai Seni Visual Negara (BSVN) di sini bahawa keluarganya hanya mengetahui pada Jumaat lepas bahawa acara yang dihasilkan pemenang Anugerah Seniman Negara itu telah diruntuhkan.

Ibu beliau, Datin Hamidah Noor yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata tiada kata-kata yang dapat diungkapkan untuk menggambarkan perasaan beliau berkaitan perkara itu.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Datuk Mahadzir Lokman menggesa artis dan pengamal seni di seluruh negara supaya mendaftarkan karya mereka di BSVN.

"Pendaftaran ini diperlukan supaya karya mereka dapat dikekalkan dan dilindungi oleh BSVN untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang," katanya.

0 Kritikan:

Catat Ulasan