PETALING JAYA: Suruhanjaya
Penerbangan Malaysia (Mavcom) digesa memberi peluang kedua kepada Rayani Air
atau suruhanjaya itu sendiri perlu membuka tawaran kepada pelabur baharu, bagi
memastikan syarikat penerbangan tersebut kembali beroperasi.
DATUK NADZIM JOHAN - PPIM
Langkah tersebut bertujuan untuk
mendapatkan suntikan dana dan mengambil alih pengurusan syarikat penerbangan
patuh syariah pertama negara itu.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Mavcom sepatutnya tidak
terus 'membunuh' Rayani Air dengan membatalkan lesen syarikat penerbangan itu,
yang sebenarnya memberi kesan buruk kepada semua terutama penumpang, pekerja
dan industri penerbangan negara.
Menyifatkan tindakan Mavcom
membatalkan lesen Rayani Air sebagai 'tergesa-gesa', jelas Nadzim, jalan
penyelesaian boleh difikirkan bersama memandangkan antara sebab syarikat itu
dibatalkan lesen adalah isu kewangan dan pengurusan.
"Batal lesen Rayani Air
bukan satu cara yang bijak. Penumpang atau pekerja boleh buat laporan polis
atau dakwa syarikat atau pemiliknya, tetapi lesen syarikat dah batal, tak boleh
beroperasi dan alami kerugian, jadi macam mana nak selesai.
"Nilai sesebuah syarikat
adalah pada lesennya. Kalau ada lesen, bolehlah hendak diselamatkan,"
katanya kepada mStar Online.
Sehubungan itu Nadzim berkata,
Mavcom perlu memberikan peluang kedua kepada Rayani Air dengan bersyarat atau
suruhanjaya tersebut boleh menentukan pilihan penyelesaian lain.
"Pemilik Rayani Air boleh
terus dapatkan pelabur untuk ambil alih syarikat itu, dengan diletakkan
beberapa syarat bersesuaian atau Mavcom boleh membuka peluang tawaran kepada
mana-mana pihak untuk melabur, sama ada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) atau
syarikat swasta.
"Setiap masalah ada jalan
penyelesaiannya. Peluang ini membolehkan Rayani Air dihidupkan kembali dan
seterusnya membayar segala hutang, termasuk bayaran balik tambang pelanggan dan
tunggakan gaji pekerja," katanya sambil menambah usaha berkenaan turut
membantu membersihkan imej penerbangan negara yang sedikit tercalar akibat
pembatalan lesen itu.
Menurut Nadzim, pihaknya
merancang untuk menghantar memorandum kepada Kementerian Pengangkutan, bagi
meneruskan desakan supaya pembatalan lesen Rayani Air ditarik balik, termasuk
membincangkan penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak.
Jumaat lalu, pemilik Rayani Air,
Ravi Alagendrran tampil memohon maaf kepada semua pelanggan dan pekerjanya
kerana gagal melunaskan tunggakan gaji serta membuat bayaran balik tiket
sebelum Aidilfitri, seperti yang dijanjikan.
Ravi berkata, penarikan balik
lesen-lesen milik Rayani Air dibuat ketika urusan memuktamadkan pelaburan ke
dalam syarikat penerbangan itu, sehingga mengakibatkan tiada pelabur yang mahu
memberi kerjasama.
Pada 13 Jun lalu, Mavcom membuat
keputusan membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) milik Rayani Air kerana
telah melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan dan
pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.
Pada hari sama, Jabatan
Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) oleh selepas melakukan siasatan penuh ke atas
pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.
Dilaporkan, tunggakan gaji 415
pekerja Rayani Air selama tiga bulan berjumlah kira-kira RM4.5 juta.
Menerusi aplikasi kumpulan
Whatsapp yang menghimpunkan sejumlah pelanggan Rayani Air, hampir 200 pelanggan
membuat tuntutan bayaran balik tambang sekurang-kurangnya bernilai ratusan ribu
ringgit.
Selain itu, timbul dakwaan
sekumpulan pelanggan menerima cek tendang untuk bayaran balik tambang dan Ravi
dilaporkan menafikan perkara tersebut, dan menjelaskan bahawa ia disebabkan
akaun bank telah dibekukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan