NICE

Rabu, 18 September 2013

Mision Imposible 33 SELANGOR

SELANGOR terpaksa menelan hakikat betapa ‘Misi 33’ hanya tinggal mitos semata-mata.




PEMAIN Tentera, Marlon Alex James (kanan) diasak pemain Selangor, S Kunanlan pada aksi Kumpulan A di Stadium Selayang, malam tadi


Keputusan seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi menyaksikan Gergasi Merah menduduki tangga tercorot Kumpulan A apabila sekadar mengutip tiga mata.
Beraksi pada babak pertama perlawanan, Selangor mempamerkan persembahan agresif dalam usaha mengintai kemenangan sulung pada kempen Piala Malaysia musim ini.
Selangor hampir berjaya mendahului permainan apabila perancang, Shukur Jusoh melepaskan rembatan, namun percubaannya sekadar melepasi gawang gol ATM pada minit ke-12.
Gergasi Merah sekali lagi hampir berjaya memecahkan henteng pertahanan The Gladiators hasil percubaan penyerang import, Francis Forkey Doe.
Begitupun, peluang terbaik Selangor itu gagal dimanfaatkan apabila pemain veteran The Gladiators, Shukor Adan berjaya menghadang sepakan deras Forkey Doe pada minit ke-25.
Sebaliknya, ATM menghukum keghairahan Selangor yang memburu jaringan apabila penyerang berbisa, Marlon Alex James meledak gol pembukaan pada minit ke-38.
Dua minit sebaik babak kedua bermula, Forkey Doe sekali lagi memberikan ancaman kepada benteng pertahanan ATM tetapi tendangan pemain kelahiran Liberia itu sekadar melewati palang gol tuan rumah.
Usaha gigih Forkey Doe memberikan tekanan kepada ATM akhirnya berbaloi apabila dia bijak menyudahkan hantaran Fitri Shazwan pada minit ke-69.
Jurulatih Selangor, P. Maniam gagal menyembunyikan kekecewaanya apabila pasukan bimbingannya tersingkir awal dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
“Saya kecewa kerana kami tetap gagal mencatatkan kemenangan sulung, lebih-lebih lagi kami telah tersingkir awal daripada saingan Piala Malaysia.
“Apa pun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pasukan saya dan ternyata tuah tidak memihak kepada Selangor pada musim ini,” ujarnya.
Di Stadium Shah Alam, Selangor PKNS muncul pasukan pertama mara ke suku akhir kempen kali ini selepas membelasah T-Team 5-0 dalam aksi Kumpulan B malam tadi.
Roman Chmelo dan Patrick Ronaldinho Wleh muncul wira The Red Ant apabila masing-masing mencetak dua gol sebelum Mohd. Nizad Ayub melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-87.
Dengan keputusan itu, skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim kini mengutip 12 mata, tiga mata di depan pencabar terdekat, Johor Darul Takzim (Johor DT) yang turut melakar kemenangan selesa 5-2 ke atas Felda United dalam satu lagi aksi kumpulan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh malam tadi.

Selasa, 17 September 2013

Tonik Sukan SEA

Kuala Lumpur: “Jangan leka dan lalai, tingkatkan lagi tahap permainan”.
Itu peringatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap barisan kejurulatihan dan pemain skuad bawah 23 tahun negara yang menjulang piala Pestabola Merdeka edisi ke-41, Sabtu lalu.

Skuad kendalian Ong Kim Swee itu tampil mempamerkan persembahan meyakinkan apabila menewaskan Myanmar 2-0 di pentas final sekali gus meletakkan mereka berada di landasan terbaik untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar Disember nanti untuk mencipta rekod memenangi pingat emas dalam tiga edisi berturut-turut.

“Saya bagi pihak pengurusan FAM ingin mengucapkan tahniah kepada pemain, jurulatih dan pengurus atas kejayaan itu. Saya kira dengan kejayaan itu bakal memberikan suntikan semangat mengekalkan kejuaraan dengan mencatatkan hatrik di Myanmar nanti. 




SKUAD B-23 negara di landasan terbaik pertahan emas Sukan SEA.


“Namun saya ingin menasihatkan mereka agar tidak leka atau terlalu yakin. Pasukan lain sudah melihat permainan kita dan pasti akan bekerja lebih keras untuk menewaskan skuad negara. Jika tahap permainan tidak dipertingkatkan, kita akan bermasalah di Myanmar nanti,” kata Setiausaha Agung Datuk Hamidin Mohd Amin.

Sember : H.Metro