Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Malaysian Airline System Berhad (MAS) dan
Malaysia Airlines Berhad (MAB)
memfailkan
pernyataan pembelaan mereka dalam saman yang difailkan waris kepada enam anak
kapal pesawat MH17, sebelum 27 Julai.
Saman itu
difailkan waris kepada enam anak kapal pesawat MH17 bagi menuntut ganti rugi
berhubung kecuaian dan pelanggaran kontrak terhadap MAS dan MAB kerana
kehilangan anggota keluarga mereka dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala
Lumpur, 17 Julai 2014.
Timbalan
Pendaftar Mohamad Shafiq Mohd Sazali menetapkan tarikh itu bagi kedua-dua
defendan memfailkan pernyataan pembelaan itu ketika kes berkenaan disebut di
dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam S. Malini mewakili kesemua
plaintif dan Lai Wai Fong mewakili defendan.
Lai
memberitahu media bahawa Mohamad Shafiq juga menetapkan 29 Ogos ini untuk
pengurusan kes itu di hadapan Hakim Datuk Hue Siew Kheng.
Pada 2 Jun
lepas, kesemua waris kepada enam anak kapal itu menyaman MAS dan MAB serta
mendakwa MAS telah cuai kerana melaksanakan penerbangan MH17 di kawasan yang
diketahui berada di bawah konflik bersenjata yang menimbulkan risiko bahaya dan
kematian.
Mereka
mendakwa kedua-dua defendan melaksanakan penerbangan kurang daripada 1,000 kaki
atas ruang udara yang disekat dalam penerbangan itu iaitu ketinggian yang tidak
digunakan oleh pesawat lain.
Plaintif
mendakwa MAS juga telah cuai kerana menghantar dan melaksanakan penerbangan
MH17 di bahagian paling utara Koridor Penerbangan Komersial Ukraine, gagal
mempunyai apa-apa sistem penilaian risiko dan gagal mengambil kira
ketidakstabilan berkenaan penerbangan di bahagian timur Ukraine.
Mereka juga
mendakwa MAS telah melanggar kontrak dalam memastikan keselamatan, kesihatan
dan kebajikan si mati, gagal memastikan terdapat kakitangan untuk penilaian
risiko, anak kapal penerbangan dan kakitangan operasi.
Mereka juga
menegaskan bahawa MAS dan MAB bertanggungjawab di bawah peruntukan Akta
Pengangkutan Melalui Udara 1974, Konvensyen Montreal 1999 dan/atau Akta
Undang-undang Sivil 1956 untuk kematian si mati.
Mereka
memohon ganti rugi am untuk kesakitan dan penderitaan, ganti rugi khas, ganti
rugi menurut Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974, ganti rugi menurut Akta
Undang-Undang Sivil 1956 dan ganti rugi bagi kecederaan psikiatri trauma,
kejutan saraf dan gangguan tekanan trauma.
Pesawat MH17 yang membawa 298
penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur
terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.
Dipercayai pesawat Boeing 777 itu
telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak tampil mengaku
bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan