NICE

Rabu, 13 Julai 2016

BAS PERSIARAN 63 SAMAN, PEMANDU ADA 9 SAMAN


Bukan hanya pemandu mempunyai sembilan saman, malah bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan di Kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara- Selatan arah selatan berdekatan Terowong Menora di sini semalam, mempunyai 63 saman atas pelbagai kesalahan.

Semakan terhadap rekod pemandu bas terbabit mendapati saman tersebut atas pelbagai kesalahan termasuk memandu laju manakala 63 saman melibatkan bas berkenaan turut membabitkan pemandu lain.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Wan Jamil Wan Chik, kesemua saman tersebut direkodkan dari 2011 hingga 2015.

“Maklumat itu diperoleh hasil semakan terhadap rekod pemandu bas terbabit. Saman yang dikenakan itu melibatkan pelbagai ke­salahan termasuk memandu perlahan di lorong kanan, memandu laju dan halangan lalu lintas.

“Semakan ke atas bas pesiaran itu pula mendapati kenderaan tersebut mempunyai 63 saman atas pelbagai kesalahan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, ujian air kencing turut dilakukan terhadap pemandu tersebut, walau bagaimanapun keputusannya adalah negatif.

Sementara itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini, pemandu bas berusia 51 tahun dari Johor itu direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Lelaki itu yang merupakan pemandu kedua bagi bas persiaran itu, ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perintah tahanan reman sehingga Khamis ini dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Ng Geok Nee.



Dalam kejadian pukul 2.45 petang semalam, sebuah bas persiaran yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur telah melanggar 10 buah kenderaan semasa menuruni bukit di lokasi kejadian.

Antara kenderaan yang terlibat adalah kereta Proton Persona, Perodua MyVi, Toyota Unser, Proton Saga, Proton Satria dan Suzuki Alto.

Dalam pada itu Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kejadian itu berlaku ekoran bas tersebut dipercayai mengalami masalah teknikal iaitu brek tidak berfungsi dengan sempurna.

“Keadaan itu mengakibatkan bas yang sedang menuruni bukit itu gagal dikawal dan bergerak laju sebelum melanggar kenderaan lain di hadapan.

“Akibat kemalangan, seorang wanita berusia 21 tahun sakit di bahagian perut manakala penumpang dan pemandu kende­raan lain yang terlibat tidak ce­dera,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan