NICE

Isnin, 13 Jun 2016

Volkswagen Vento

Vento yang membawa maksud angin dalam bahasa Itali dan Portugis adalah model sedan baharu daripada Volkswagen yang dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Bagi mengenali lebih dekat Volkswagen Vento ini, penulis bersama media lain diberi peluang Volkswagen Group Malaysia Sdn Bhd (VGM) untuk sesi pandu ujinya ke Pulau Pinang, baru-baru ini.
Bermula di pusat servis dan pameran Volkswagen di Puchong, Selangor, sebanyak 20 kereta disediakan daripada model 1.2 TSI Highline adalah varian tertinggi dan varian lain yang ada dalam pasaran Malaysia membabitkan 1.6L Trendline dan 1.6L Comfortline.
Selepas sesi taklimat, konvoi media dilepaskan menuju Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ke Tanjung Malim dan Tapah serta keluar ke jalan raya Persekutuan melalui jalan kampung menuju ke Tanjung Tualang di Perak sebelum ke Pulau Pinang dari Plaza Tol Simpang Pulai.
Memandu Vento buat kali pertama memberikan pengalaman menarik buat penulis kerana keselesaan dan prestasi enjin 1.2 TSI menjadikan keseluruhan perjalanan lancar serta menyeronokkan.
Meskipun dikuasakan dengan tenaga 1.2 liter, ia dilengkapi enjin empat silinder suntikan terus pengecas turbo dengan kotak gear transmisi tujuh kelajuan DSG bagai memandu kereta yang dijana enjin 2.0 liter.
Pemanduan di atas lebuh raya pada kelajuan sederhana dan laju nyata selesa. Lebih-lebih lagi ketika memintas kenderaan atau menukar lorong dan ketika melalui jalan biasa, kawasan berbukit atau melintasi bandar serta kampung ia memberikan kelancaran yang berterusan.
Suspensi beroperasi dengan baik ketika melalui selekoh pendek dan jalan tidak rata tiada gegaran kasar boleh dirasakan pada stereng teleskopik balutan kulit bergaya ala perlumbaan yang dilengkapi butang audio dan pelayaran memberi kawalan terbaik.
Ruang dalaman luas serta praktikal boleh memuatkan lima orang dalam satu masa dengan sistem audio serta radio ‘320G’ dilengkapi pemacu USB dan iPod, slot kad SD, Bluetooth, selain dilengkapi empat pembesar suara serta paparan informasi menjadikan hiburan terbaik sepanjang perjalanan.
Bagi penulis berketinggian sekitar 1.80 meter, duduk di kerusi pemandu atau penumpang nyata selesa dengan unjuran kaki yang baik tidak memenatkan terutama ketika perjalanan jauh selain ruang belakang luas padanan kerusi fabrik ‘Cable’ dilengkapi sistem Isofix.
Penyaman udara Climatronic dengan corong penghembus di bahagian kaki penumpang belakang mengedarkan udara sejuk di dalam kereta ini dengan pantas dan menyeluruh untuk keselesaan sepanjang masa terutama ketika memandu dalam cuaca panas.
Paling menarik ialah ciri keselamatan terbaik ditawarkan pada sebuah sedan seperti sistem brek anti-kunci (ABS) dengan bantuan brek (BA), beg udara dan Sistem Respons Perlanggaran Pintar (ICRS) serta Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) yang dapat diuji media pada hari kedua di kawasan parkir Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Secara keseluruhannya Vento hasil kejuruteraan Jerman bertaraf dunia dengan prestasi terbaik tanpa mengurangkan aspek keselamatan bagi kenderaan kategori sedan segmen B pemasangan tempatan (CKD).
Meskipun sebelum ini ia dikenali dengan Polo Sedan, kehadiran enjin 1.2 TSI tidak sahaja menjadikan Vento model baharu malah ciri luaran lebih menarik dengan elemen krom pada beberapa bahagian badan kenderaan tampak lebih eksklusif.
Elemen keselamatan terkini diberi penarafan 5 bintang oleh ASEAN NCAP dan paling utama ia jimat petrol dengan enjin 1.2L apabila penggunaan bahan api sekitar 5.5L bagi setiap 100 kilometer.
Kelebihannya teruji apabila masih separuh tangki ketika penulis tiba di Pulau Pinang selepas memandu dengan kelajuan pelbagai.
Vento baharu ditawarkan pada harga RM79,888 untuk Trendline, Comfortline (RM86,888) dan RM93,888 bagi Highline harga asas atas jalan tanpa insurans dengan lima warna menarik iaitu putih, merah, perak, kelabu dan hitam serta lima tahun jaminan pengeluar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan