NICE

Isnin, 20 Jun 2016

SKMM PERLU CARI DALANG SEBAR AKUAN BERSUMPAH PALSU

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), hari ini menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat segera isu akuan bersumpah palsu berhubung Deklarasi Rakyat yang dipelopori Tun Dr Mahathir Mohamed.




Ketua Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin, berkata akuan bersumpah yang mendakwa beliau memaksa Azharuddin Othman menuduh individu tertentu 'membeli' pangkalan data penduduk negara ini digunakan untuk mendapatkan 1.2 juta tandatangan bagi projek Deklarasi Rakyat, adalah palsu.

Azharuddin yang juga seorang pengatur cara komputer bebas, pada 26 Mei lalu mengaku ditawarkan RM5,000 untuk terbabit dengan urus niaga menjual pangkalan data itu bagi pemalsuan tandatangan pada deklarasi terbabit yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berkata beliau sudah mendedahkan akuan bersumpah kononnya memaksa Azharuddin membuat pengakuan itu sebagai palsu tetapi masih ada pihak menyebarkan satu lagi akuan bersumpah palsu berhubung isu sama.

"Selepas mengetahui kewujudan akuan palsu terbabit, saya dan Azharuddin sudah membuat penafian di laman sosial serta menghantar beberapa pesanan ringkas kepada rakan wartawan mengenai kewujudan akuan bersumpah palsu atas nama saya.

"Tetapi hal berkenaan tidak berhenti di situ, telefon bimbit saya mula dihujani pelbagai panggilan telefon dan mesej WhatsApp yang bertanyakan kenapa saya membayar Azharuddin untuk menipu.

"Apabila diselidik rupanya ada satu laporan portal berita yang menyiarkan bahawa akuan bersumpah palsu itu adalah betul walaupun ia sudah dinafikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sebelum menyerahkan beberapa lampiran bukti mengenai akuan bersumpah palsu berkenaan kepada pegawai Biro Aduan Pengguna di SKMM, di sini hari ini.

Chegubard berkata, laporan disiarkan portal berita itu ternyata tidak benar dan beliau sudah menulis surat terbuka kepada pihak terbabit bagi membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam bermula 18 Jun lalu yang akan berakhir petang ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan