Pages

Sabtu, 11 Jun 2016

USAHA KERAAJAN BEBESKAN NELAYAN TEMPATAN DI INDONESIA


Kerajaan sedang berusaha membebaskan nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia menggunakan saluran perundangan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Nelayan Malaysia

Beliau berkata ini kerana masih ada ruang untuk mereka yang ditahan atau sedang dipenjarakan di negara itu bagi mengemukakan rayuan.

"Mungkin mereka (nelayan) tidak begitu fahami sistem perundangan di sana (Indonesia) apabila tidak kemuka rayuan dalam tempoh tertentu.

"Sehubungan itu, selain (menggunakan) saluran diplomatik, proses rayuan juga sedang dijalankan oleh pihak peguam kita yang bekerjasama dengan pihak Indonesia," katanya dalam sidang media selepas melawat Markas Tektikal (Martek) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di Sungai Besar semalam.

Turut hadir Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat.
Akhbar sebelum ini melaporkan, sehingga Mac tahun ini, sebanyak 70 bot nelayan Malaysia dikatakan 'ditunda' masuk ke perairan negara itu dan sebanyak 27 nelayan tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana memasuki perairan negara berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri dalam pada itu berkata kementeriannya sedang memproses permohonan nelayan kategori Zon B yang berhasrat menggajikan pekerja warga asing.

Katanya sebelum ini beliau telah didatangi beberapa pemimpin nelayan yang mengemukakan permohonan itu selepas kementerian berkenaan mengumumkan pelonggaran syarat untuk pengambilan pekerja asing pada minggu lepas.

"Permohonan ini dijangka dapat diluluskan setelah semua butiran diperlukan mengenai permohonan itu dikemukakan dengan lengkap kepada kami (KDN)," katanya.
- Bernama

0 Kritikan:

Catat Ulasan