Rajah menunjukkan sisa rokok yang dikitar semula TerraCycle
USAHAWAN kitar semula, Tom Szaky sedang berusaha untuk menghapuskan masalah sedunia iaitu pencemaran daripada rokok.
Lelaki berusia 30 tahun yang mengambil keputusan untuk berhenti
daripada meneruskan pengajian di Universiti Princeton semata-mata untuk
bekerja di TerraCycle di Trenton, New Jersey, Amerika Syarikat itu
memberitahu, tiada satu sampah pun terdapat di pejabat mereka walaupun
puntung rokok.
TerraCycle telah memulakan program kitar semula sejak Mei tahun lalu
di Kanada. Kemudian, ia diperluaskan hingga ke Amerika Syarikat dan
Sepanyol dengan memungut puntung rokok daripada sukarelawan.
Ia kemudian boleh dikitar semula dan diproses menjadi pelbagai produk daripada bekas rokok, kotak dan sebagainya.
Bagi rokok yang dibuang ia akan dipatahkan sebelum kertas dan tembakaunya dikitar semula.
Puntung rokok dibuat daripada plastik dipanggil acetate cellulose
pula akan dicairkan sebelum dicampur dengan bahan-bahan yang digunakan
secara meluas oleh kilang-kilang untuk membuat plastik seperti palet
iaitu bekas untuk menampung barangan berat.
Pengilang tembakau membayar TerraCycle kerana program itu sekali gus memberikan mereka sumber kewangan untuk projek itu.
Selain itu, duit yang diperoleh juga dapat disumbangkan kepada para sukarelawan menerusi sistem pungutan mata.
Secara tidak langsung, program itu menjadikan kawasan siar kaki
semakin bersih. Ia juga menyebabkan TerraCycle mendapat lebih banyak
peluang perniagaan selain menjual barangan kitar semula kepada rangkaian
kedai Walmart dan Whole Foods.
TerraCycle mempunyai pandangan kreatif terhadap tabiat manusia yang
sebelum ini disifatkan sebagai susah hendak diubah terutamanya mengajak
mereka untuk mengitar semula.
Kitar semua barang
Uncang jus, botol plastik, pen, pembungkus kopi, pembungkus
gula-gula, berus gigi dan papan kekunci komputer antara barangan kitar
semula yang bernilai buat TerraCycle.
Sebahagian barangan akan dihantar untuk dikitar semula secara klasik
iaitu mereka menggunakan barangan tersebut sebagai barangan baharu.
Sementara sesetengah yang lain dinaiktaraf iaitu dikekal dan dijenamakan
semula sebagai bahan baharu.
Sebagai contoh, pembungkus gula-gula lengkap dengan lambang digunakan untuk membalut buku.
"Tujuan TerraCycle adalah untuk menghasilkan barang daripada tidak
boleh dikitar semula kepada boleh dikitar semula," kata Szaky yang juga
merupakan Ketua Pegawai Eksekutif TerraCycle kepada AFP.
Tidak lama lagi, syarikat itu akan mengitar semula gula-gula getah
dan lampin bayi yang telah digunakan namun Szaky lebih suka untuk
mengitar semula rokok.
"Habuk rokok, puntungnya atau kotak pembungkus, semuanya saya suka.
Selepas dilancarkan tahun lalu, program ini telah berjalan dengan
jayanya.
"Kami telah mengumpulkan lebih sejuta rokok dalam tempoh yang
singkat. Kami mempunyai organisasi yang hebat memungut sisa rokok dan
kilang tembakau juga gembira dengan pelancaran program ini di AS dan
Sepanyol," ungkap Szaky penuh teruja.
Dalam pada itu, Szaky optimis program tersebut akan diperluaskan ke Eropah dan Mexico dalam tempoh empat bulan lagi.
Menurut Szaky, untuk membuat tempat habuk rokok plastik, ia
memerlukan 1,000 hingga 2,000 puntung rokok dan lebih 200,000 untuk
membuat kerusi taman.
Namun, ia tidak mungkin kekurangan bekalan kerana 37 peratus sampah
dunia dipenuhi dengan puntung rokok dan hampir trilion dibuang setahun.
Lebih 35 juta orang daripada 22 negara di seluruh dunia mengambil
bahagian dalam program itu yang dibiayai oleh banyak syarikat korporat.
"Apabila kami mencipta penyelesaian masalah rokok, kami pergi ke
syarikat-syarikat besar dan tunjukkan kepada mereka barangan plastik
yang dibuat daripada rokok terpakai.
"Pada mulanya, mereka tidak mempercayai perkara tersebut, tetapi itu membuatkan kami bekerjasama sehingga kini," tambah Szaky.
Syarikat Szaky bermula apabila dua individu mempunyai idea untuk
menjadikan najis ulat sebagai baja di ladang. Sekarang ia mempunyai
hampir 100 pekerja.
"Saya ingin mengitar semula semua sampah yang terdapat di dunia ini.
Matlamat utama saya adalah untuk membebaskan bumi ini daripada sampah.
Sampah tidak wujud secara semula jadi," tegasnya. -
SUMBER:-
KOSMO