NICE

Memaparkan catatan dengan label Umat Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umat Islam. Papar semua catatan

Selasa, 21 Jun 2016

BILAL MATI KETIKA SOLAT TERAWIH

Seorang bilal meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat Tarawih di Masjid Kutan di sini, kelmarin.

Che Kob @ Yaakub Che Sop, 69, rebah secara tiba-tiba pada rakaat keempat kira-kira 9.15 malam dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
“Saya terkejut melihat seorang jemaah di saf hadapan rebah ke belakang dan kepalanya terkena lutut saya.
“Saya bersama seorang lagi jemaah segera menghentikan solat tarawih untuk memberi bantuan.
“Kami cuba mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah namun semuanya sudah terlambat kerana mangsa tidak sedarkan diri,” kata salah seorang jemaah, Che Adnan Che Hassan.
Beliau juga menemui alat penyedut lelah dalam poket baju mangsa.
Kejadian itu dilaporkan kepada polis yang kebetulan bertugas di masjid berkenaan, lapor Harian Metro.
Insiden itu menyebabkan solat tarawih terhenti selama 10 minit sebelum bersambung hingga selesai.
Isteri mangsa, Sepiah Mohd Sidik mengesahkan suaminya menghidap lelak sejak lebih 10 tahun lalu.
“Arwah suami memberitahu anak kami bahawa dia nak mati, mungkin merujuk keadaannya yang sering sakit dada sejak kebelakangan ini.
“Bagaimanapun saya tidak mengambil serius kata-katanya kerana menganggapnya bergurau namun ternyata gurauan itu menjadi kenyataan,” katanya.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kutan Tengah, di sini semalam.

Isnin, 20 Jun 2016

Dia bimbing saya pada Islam, dia suamiku

Ramadan kali ini membuka lebaran baru buat seorang mualaf yang masuk tahun kedua mendalami Islam.
Hilda Saran atau nama Islamnya Naura Auni Abdullah, 27, berdoa agar keluarganya lebih terbuka menerimanya.


Naura Auni, yang sebelum ini penganut Kristian, berkata beliau berminat masuk Islam ketika kecil lagi apabila melihat sepupunya dibesarkan dalam agama itu.
Pekerja pengurusan di sebuah syarikat swasta itu berkata niatnya untuk masuk Islam ketika itu bagaimanapun terpaksa dipendam kerana tiada sesiapa yang membimbingnya.
“Dari kecil saya minat Islam kerana ada keluarga Islam, ayah kepada sepupu saya masuk Islam. Ketika saya masih kecil saya lihat sepupu saya bertudung dan solat.
“Dari dulu tertarik tapi tidak ada yang mahu bimbing saya,” katanya dalam temubual bersama Malaysiakini.
Lafaz syahadah
Wanita kelahiran Kuching itu bagaimanapun ketika melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertemu seorang lelaki yang membimbingnya ke jalan yang benar.
Setelah mendalami Islam, pada Ramadan 2014, pada jam 9 pagi beliau hadir Pejabat Agama Islam Klang bagi melafazkan syahadat dan disaksikan oleh lelaki itu yang kini merupakan suaminya.
“Saya berjumpa seorang lelaki sekarang dia kini adalah suami saya.
“Saya banyak bertanya kepada suami saya bagaimana proses ingin memeluk agama Islam dan saya mulai belajar dari dia.
“Saya memang nak dari dulu tapi tak tahu nak minta tolong dari siapa.
“Alhamdulillah, suami saya yang jadi saksi saya masuk Islam pada bulan Ramadan 2014,” katanya.
Ambil hati ibu
Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui bagaimana untuk memberitahu kepada kedua ibu bapanya mengenai perkara tersebut.
Pelbagai perkara menghantui fikiran sehingga beliau begitu khuatir sekiranya dibuang oleh keluarganya.
“Agak sukar memberitahu keluarga saya tapi lama kelamaan saya kuatkan diri untuk beritahu. Saya takut mereka putuskan pertalian.
“Saya ambil masa selama tiga bulan untuk beritahu mereka. Alhamdulillah mereka agak terkejut dengan berita itu,” katanya yang menambah adiknya turut masuk Islam awal tahun ini.
Naura Auni berkata, sesudah masuk Islam,beliau berusaha untuk mengambil hati ibu dan bapanya supaya mereka boleh menerima beliau seadanya.


“Saya tahu kemarahan mereka sudah mulai reda, tapi, Ramadan kali ini mereka lebih terbuka menerima saya,” katanya.

Sumber

Isnin, 11 Februari 2013

Seorang WANITA BERTUDUNG berjaya mengislamkan 7 PROFESOR BARAT






Kisah yang satu ini merupakan salah satu contoh dari sekian banyak potret kehidupan seorang wanita muslimah yang begitu bangga dan merasa terhormat dengan agama yang selama ini ia telah hadir mewarnai perjalanan hidupnya. Seorang muslimah yang di hatinya terdengar keras degupan syiar agama Allah.

Itulah hati yang mampu mengenal Allah dan Rasul Nya sehingga keraguan tak pernah lagi ditemui di dalamnya. Dialah peribadi seorang wanita muslimah yang hatinya selalu memikul tanggung jawab dakwah. Namun sayang watak semacam ini ternyata jarang untuk kita temui. Ya memang sangat jarang sekali.

Ummu Abdul Aziz, begitulah wanita ini biasa disapa dalam hariannya. Suaminya seorang doktor yang tinggal di bandar Riyadh, Saudi Arabia.

Pada satu kesempatan, Ummu Abdul Aziz harus menyertai suaminya untuk menghadiri salah satu persidangan perubatan yang diadakan di salah satu negara Eropah. Dengan langkah pasti ia iringi keberangkatan sang suami. Ya, ia sedar sekali bahawa Tuhan yang selama ini ia sembah di negaranya tak lain adalah Tuhan yang akan ia jumpai di negera Eropah tersebut. Tuhan yang satu, Allah. Demikian pula halnya kaum Lelaki yang ia jumpai nya di negara asalnya, Arab Saudi. Oleh kerana itu, sebaik tiba di negara destinasi, keadaannya tidak berubah sedikitpun.

Komitmen untuk sentiasa melaksanakan segala perintah Tuhannya ia selalu pegang dengan baik. Hal ini nampak kelihatan jelas dari cara ia berpakaian. Potongan kain yang dikenakannya menutupi seluruh anggota tubuhnya .. Ya Ummu Abdul Azis mengenakan pakaian secara lengkap sehingga tidak tak sedikitpun anggota tubuhnya yang boleh terpandang mata, walaupun ia berada di kawasan Eropah yang serupa dengan mode-mode pakaian masa kini.

Oleh kerana itu wajar apabila masyarakat Eropah yang menjumpainya merasa hairan dengan pemandangan yang sangat asing seperti yang ia tampakkan. Ia pun mula menjadi pusat perhatian, seakan-akan bertanya '"Makhluk apakah yang ada di balik kain hitam ini?" Benar-benar pemandangan yang sungguh aneh bagi mereka.

Pada suatu hari, beberapa wanita Eropah berkumpul mendatanginya. Rata-rata mereka adalah para profesor yang boleh dikatakan sudah cukup berumur. Dialogpun akhirnya berlangsung di antara mereka (Qadaralllah ummu Abdul Aziz mampu berbahasa Inggeris). Dengan begitu beraninya salah seorang daripada mereka mengajukan sebuah soalan, "Kamu pasti kelihatan seperti ini hanya untuk menyembunyikan kecacatan yang ada di tubuh kamu bukan? Atau mungkin sekadar menutupi wajahmu yang nampak tidak cantik??

Ya kiranya anggapan seperti itulah yang tertanam di benak mereka selama ini terhadapnya. Ummu Aziz terus membawa mereka ke salah satu sudut bilik, lalu membuka cadar yang selama ini menutupinya wajahnya. Ternyata ia nampak seperti wanita normal pada umumnya, tanpa ada cacat sedikitpun sebagaimana dugaan mereka. Bahkan mungkin parasnya lebih cantik dari wanita biasanya, insya Allah. Kesempatan ini tentu tidak ia biarkan berlalu begitu sahaja tanpa menyampaikan sesuatu kebenaran.

Setelah memperlihatkan wajahnya, Ummu Abdul Aziz terus bermula masuk ke pembicaraan asas. Ia jelaskan kepada mereka bagaimana Islam meletakkan wanita. Ia paparkan sejauh mana penghormatan agama Allah ini terhadap kaum Hawa selain ia berikan gambaran tentang ajaran agama Islam secara umum.

Tahukah apa yang berlaku selepas itu? Ya setelah tiga jam berlalu, sebanyak tujuh dari sepuluh Professor wanita tadi terus mengikrarkan keislaman mereka! Tak lain kerana Ummu Abdul Aziz atas izin Allah! Bayangkan tujuh orang Professor masuk Islam hanya dalam tempoh tiga jam selepas melakukan dialog.

Sebagai seorang muslimah Ummu abdul Aziz tidak merasa kecil sehingga menjadi asing dengan ajaran agamanya Kehadirannya di negara pengusung faham liberalisme yang jauh dari sistem nilai sosial tersebut. Ia tetap berpakaian muslimah sejati dan tidak mempengaruhinya untuk berganti pakaian ketat dengan hiasan murahan di sana-sini seperti perhiasan kejahiliyahan layaknya barangan murahan.

Tujuh orang professor wanita menyatakan keislaman mereka. Allah pun meninggikan darjat mereka dengan agama ini. Agama yang selama ini menjadi satu kebanggaan tersendiri bagi peribadi seperti Ummu Abdul Aziz. Akhirnnya dari seorang muslimah yang berusaha untuk mengajak umat ini kepada jalan Allah. Ia fungsikan dirinya sebagai media turunnya hidayah bagi siapa yang Allah kehendaki. Dengan cara seperti ini ia mampu merubah pandangan rendah mereka terhadap agama yang Allah redhai ini.

La ilaha ilallah .... semoga Allah sentiasa memberikan taufikNya kepada dirimu, Ummu Abdul Aziz. Allah jaga dirimu sehingga benar-benar bermanfaat bagi agama dan umat ini. .. Amiin

Sumber:-  ATOK Google

Rabu, 30 Januari 2013

Siapakah Orang Itu?


Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan nabi sulaiman A.S.

Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "inna lillahi wainna illaihi rajiuun." lalu sambil berkata,"ya rabbi aku redha dengan ketentuanmu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk - numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka.

Siapakah org yg kedekut?
Orang yg kedekut ialah org yg membiar ilmu ini dan tidak berkongsi pada orang lain.

Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafa'at kepada manusia lain.. 

Isnin, 23 Julai 2012

SOLAT TERAWIH

Solat Terawih : Sejarah HukumKaifiat

Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita dikalangan orang-orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.


Risalah ringkas ini akan membincangkan tentang “Solat Terawih” dan perkara yang berhubung kait dengannya.
Berkenaan keutamaan solat ini, Abu Hurairah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah saw menganjurkannya pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda:

((مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ)) [متفق عليه]

Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” [Sahih Muslim, no: 759]

Takrif Solat Terawih:
Menurut bahasa (lughah): Terawih bermaksud berehat, bersenang-senang, melapangkan nafas dan seumpamanya.

Menurut istilah: Terawih ialah ibadat solat yang dilakukan pada waktu malam di bulan Ramadhan. Bermula waktunya selepas solat isya’ dan berakhir dengan masuk waktu subuh, tidak termasuk sunat ratibah isya’ dan solat witir.

Dinamakan terawih kerana orang yang melakukannya akan berehat selepas empat rakaat (dua salam).
Solat terawih termasuk solat tahajjud atau solatul-lail dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.

Waktu Melakukan Solat Terawih.
Sebagaimana hadis Rasulullah saw di atas: “Sesiapa berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan…”. Berdasarkan hadis ini, tempoh menunaikan solat terawih ialah sesudah masuk waktu solat isyak sehingga sebelum masuk waktu solat subuh. Ini bererti sesiapa yang tidak dapat melakukannya pada awal malam boleh melakukannya pada pertengahan atau akhir malam.




Hukum Solat Terawih
Solat terawih hukumnya sunat mu’akad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Rasulullah saw telah menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas, bererti hukumnya adalah sunat dan tidak wajib.


Sejarah Terawih:
Ummul Mukminin Aishah ra, meriwayatkan bahawa Rasulullah  saw melakukan solat terawih di masjid beberapa malam (ada yang mengatakan empat malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para sahabat. [HR Bukhari dan Muslim].

Pada malam kelima dan seterusnya hingga ke akhir bulan Ramadan, Baginda melakukan ibadat ini di rumah. Ini kerana Baginda saw bimbang para sahabat tersalah anggap dan menjadikannya sebagai solat fardu dan sudah tentu sukar bagi mereka untuk melakukannya.

Abi Zar t meriwayatkan Nabi saw bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda saw: “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”. Maka  Nabi saw bersabda:

((إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ)) [الترمذي، صحيح]

Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat terawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyamsemalaman (seumpama bersolat sepanjang malam).” [HR At-Tirmizi, sahih].

Imam Ahmad mengamalkan hadis ini dan beliau bersolat bersama imam sehingga selesai dan beliau tidak akan beredar sehinggalah imam beredar.

Berkata sebahagian ulama’: “Sesiapa yang bangun solat separuh malam bersama imam seumpama dia telah bangun solat sepenuh malam.”

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dari Jabir ra bahawa Nabi Muhammad saw melakukan solat terawih sebanyak lapan rakaat, setelah itu diikuti solat witir.

Khalifah Umar bin Al-Khatab ra  ialah orang pertama yang mengerah umat Islam menunaikan solat terawih secara berjamaah di bawah pimpinan Ubai bin Kaab ra.
Solat terawih dilakukan berjemaah pada setiap malam Ramadhan selepas solat isyak sebanyak 20 rakaat dan ditambah dengan tiga rakaat solat witir.




Cara Perlaksanaan Solat Terawih.
Solat Terawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian. Berjamaah adalah lebih afdal merujuk kepada anjuran Rasulullah saw seperti hadis di atas.

Namun jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjamaah, maka dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian. Rasulullah saw sendiri pada zaman baginda adakala melaksanakannya secara berjamaah dan adakala secara bersendirian. Ini bagi memberi kelapangan bagi umat, seandainya mereka menghadapi kesempitan masa atau tenaga.

Menurut imam Al Ghazali rh walaupun solat terawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat terawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar r.a. yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah.




Bilangan Rakaat Solat Terawih.
Solat terawih boleh dilaksanakan dalam jumlah lapan atau dua puluh rakaat, diiikuti dengan solat sunat witir. Kadangkala timbul persoalan berkenaan jumlah rakaat solat terawih yang sepatutnya dilaksanakan, lapan atau dua puluh rakaat?

Persoalan jumlah rakaat bagi solat terawih telah menjadi tumpuan para ilmuan Islam sejak dari dulu. Mereka telah mengkaji dalil-dalil yang ada serta membandingkan antara pelbagai pandangan yang wujud. Hasilnya membuahkan tiga pendapat. Pendapat pertama: Jumlah rakaat solat terawih ialah 8 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat kedua: Jumlahnya ialah 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat ketiga: Jumlahnya tidak ditentukan. Seseorang itu bebas melaksanakan solat terawih dengan jumlah rakaat yang dipilihnya, kemudian ditutupi dengan solat witir.

Ketiga-tiga pendapat di atas memiliki dalil dan hujah di sebaliknya dan kita boleh memilih mana-mana pendapat di atas. Yang penting, kita perlu menghormati orang lain seandainya mereka memilih pendapat yang berbeza dengan kita.

Ibnu Umar ra menceritakan: Seorang lelaki datang bertanya Rasulullah saw tentang solat malam. Sabda Nabi saw:
صَلاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمْ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى.
Maksudnya: “Solat malam ialah dua rakaat, dua rakaat. Apabila kamu bimbang masuk waktu subuh maka solatlah satu rakaat, menjadikan bilangan witir (ganjil) bagi rakaat yang telah engkau solat” [HR: Bukhari].

Rasulullah saw tidak menyebut bilangan rakaat solat malam, malam pula panjang masanya, boleh dilakukan banyak solat, ini menunjukkan bahawa bilangan tidak dihadkan sekadar kepada 8 atau 20 rakaat.
Berkata Imam Asy-Syafie: “Aku telah melihat orang ramai mendirikan solat terawih di Madinah 39 rakaat, di Makkah 23 rakaat, ini bukanlah satu perkara yang sempit (terikat dengan bilangan).”

Katanya lagi: “Jika mereka panjangkan qiyam berdiri (dengan bacaan al-Quran), kurangkan rakaat adalah baik. Sekiranya mereka membanyakkan sujud (rakaat) dan meringankan berdiri (ringkaskan bacaan) juga adalah baik. Tetapi yang pertama adalah lebih aku sukai.”

Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat terawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar lapan rakaat. Terpulang kepada masing-masing untuk menunaikan ibadat ini mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri terhadap Penciptanya. Yang pentingnya ialah selesaikan solat bersama imam, tidak hanya setakat separuh jalan.