NICE

Memaparkan catatan dengan label bomba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bomba. Papar semua catatan

Rabu, 13 Julai 2016

VAN TERBAKAR BUKAN MILIK POLIS

Polis menafikan dakwaan yang tersebar di laman sosial kononnya sebuah van polis diletupkan, manakala tiga anggotanya cedera dalam kejadian di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di ibunegara semalam.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata tindakan mereka yang menyebarkan berita palsu itu hanya menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

"Van yang terbakar itu (menerusi gambar yang disebarkan) bukan milik polis dan tiada anggota yang cedera seperti didakwa," katanya ketika dihubungi Bernama, malam tadi.

Zainol berkata gambar disebarkan itu adalah kejadian yang berlaku kelmarin (11 Julai).

"Ketika kejadian, pemilik van itu yang baru tiba dari Kedah telah melalui Jalan TAR, sebelum bahagian enjin vannya itu tiba-tiba terbakar dan merebak kekeseluruhan kenderaan itu. Tiada unsur kianat," katanya.

Beliau menegaskan mereka yang bertindak menyebarkan berita palsu itu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

- Bernama

Selasa, 5 Julai 2016

KAKI BUDAK PEREMPUAN TERSANGKUT DI CELAH BESI PENUTUP LONGKANG


KLANG: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun berdepan pengalaman hitam apabila kaki kanannya tersangkut di celah penutup longkang besi di Jalan Raja Nong Kiri di Kampung Jawa di sini.





Kanak-kanak ini dipercayai telah tergelincir dan tersepit sehingga paras paha ketika berjalan dengan ibu bapanya menuju ke kereta selepas selesai bersarapan pada pukul 8 pagi Isnin.

Dia meraung dan ibu bapanya cuba menarik kakinya tetapi tidak berjaya.

Mereka kemudian memanggil pasukan bomba untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Mohd Shafiee Rawop berkata kanak-kanak itu, yang ketakutan menangis lebih kuat apabila melihat peralatan yang dibawa anggota bomba.

Enam anggota bomba telah pergi ke tempat kejadian dan menggunakan penyembur hidraulik untuk meluaskan jurang di antara penutup longkang dalam usaha untuk menarik keluar kaki kanak-kanak itu.

Dia menangis teresak-esak tanpa henti, mungkin takut sesuatu akan berlaku kepada kakinya, kata Mohd Shafiee.

Anggota bomba bergilir-gilir memujuk dan mengalihkan perhatiannya dalam usaha menyelamatkannya.

"Kami juga memberi jaminan bahawa anggota bomba berada di sana untuk menyelamatkan dirinya.

"Dia akhirnya tenang dengan bantuan ibu bapanya," katanya.

Mohd Shafiee berkata anggota bomba juga telah menutup kakinya dengan sehelai kain ketika proses menyelamat supaya dia tidak melihat bagaimana ia dilakukan.

Dia akhirnya berjaya diselamatkan selepas 15 minit.

Kanak-kanak itu mengalami beberapa kecederaan ringan dan ibu bapanya membawanya ke klinik, kata Mohd Shafiee.