MELAKA - Sebuah
masjid berusia lebih 70 tahun di Melaka Tengah dekat sini dikesan telah silap
dalam penetapan arah kiblat.
Imam I Masjid
Al-Ehsan, Bukit Baru, Sabtu Kina berkata, kedudukan arah lebih kurang 10
sentimeter terpesong dari arah kiblat sebenar, yang sepatutnya mencondong ke
kiri, wujud sejak masjid tersebut didirikan.
Menurutnya,
perkara itu dikesan semasa bermulanya projek penambahan bangunan masjid
penghujung tahun lalu oleh pelukis pelan.
Ia turut mendapat
perhatian Majlis Agama Islam Melaka (Maim).
“Kita segera
atasi keadaan itu dengan memasang pita pelekat penanda arah kiblat sebenar bagi
mengelak kekeliruan jemaah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung
Paya Ikan, semalam.
Sabtu yang
menjadi imam sejak 17 tahun lalu bagaimanapun berkata, ia kesilapan tidak
disengajakan berdasarkan faktor usia masjid itu yang dibina pada tahun 1940-an.
Terdahulu, masjid
warisan itu tidak dirobohkan, sebaliknya akan dinaik taraf sebahagian bangunan
bagi keselesaan lebih 1,000 jemaah.
Sementara itu,
salah seorang jemaah masjid tersebut, Abdul Wahab Baba, 55, berkata, dia
berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan pemeriksaan di semua masjid
lama di negeri ini.
“Semak semula
arah kiblat di masjid lama kerana kita tak mahu sembahyang dengan kiblat tidak
betul,” katanya.
Terdahulu,
Pengerusi Maim, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau sudah maklum
berkaitan perkara itu dan kesalahan terbabit adalah tidak disengajakan.
“Mungkin ada
silap sedikit dan boleh dibaiki kecuali kita sengajakan, itu satu kesalahan.
Sama juga seperti kita sembahyang di hotel luar negara yang mungkin boleh
tersilap arah kiblat,” katanya yang juga Ketua Menteri Melaka.
Sementara itu, umat Islam yang pernah menunaikan solat di Masjid Al Ehsan, Bukit Baru dinasihatkan tidak perlu risau dengan solat mereka.
Pengerusi
Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Yaakub Md Amin berkata,
biarpun kesalahan arah kiblat berlaku, namun hukum sembahyangnya adalah sah.
Menurutnya, ia
tidak menyalahi apa-apa kesalahan kerana yang penting niat untuk menunaikan
solat.
“Zaman dahulu,
kita tiada teknologi canggih untuk menentukan arah kiblat tepat dan hasilnya
mendapat arah yang tidak terlalu tepat.
“Berbeza
sekarang, kita ada alat canggih dengan pelbagai penggunaan sistem yang baru,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan