NICE

Khamis, 4 Ogos 2011

Pertahanan Pincang atau Kesilapan Penjaga Gol


Bolos 18 gol dalam 4 perlawanan, statistik yang dengan sendirinya menceritakan betapa pincangnya barisan pertahanan negara tanpa perlu diulas dengan lebih terperinci. Jelas ini bukan barisan pertahanan yang kita kenali akan keampuhan mereka hingga diangkat tonggak kejayaan Piala AFF Suzuki tujuh bulan lalu.

Jika ketika itu gandingan Mahali Jasuli – Muslim Ahmad – Fadhli Shas – Asrarudin Putra, sesekali dibantu kelibat Sabre Abu dan ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat di gawang hanya bolos 3 gol dalam 6 perlawanan (tidak termasuk perlawanan pertama Malaysia tewas 1-5), keserasian dan keampuhan itu nyata gagal dibentuk semula K.Rajagobal yang sekali lagi menyaksikan kesilapan mudah dan kelemahan pertahanan menjadi punca utama harapan Malaysia mara ke pusingan seterusnya dalam kempen kelayakan Piala Dunia ibarat ‘telur di hujung tanduk’.

Gandingan yang sama, namun tiada lagi sesuatu untuk digentarkan, tiada lagi keserasian dan gandingan mantap, tiada lagi aksi lasak yang boleh menyekat pergerakan penyerang lawan sepertimana mereka pernah mengecewakan Sarayoot Chaikamdee (Thailand), Nguyen Trong Hoang (Vietnam), serta Cristian Gonzalez dan Irfan Bachdim (Indonesia).

Kehadiran semula pemain pertahanan yang juga bekas kapten, Aidil Zafuan Abdul Razak juga tidak dapat menutup kelemahan itu, dan sekadar menjadi watak popular di barisan pertahanan yang terpaksa diperkuatkan tonggak skuad Olimpik ekoran tersisihnya Norhafiz Zamani Misbah dan Nasriq Baharom.

Pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal ketika ditemui penulis tidak lama dulu pernah menyuarakan rasa terkilannya akan kegagalan barisan pertahanan berfungsi dengan baik, kerap hilang konsentrasi dan tidak belajar daripada kesilapan, justeru khuatir ia akan menjejaskan peluang pasukan negara.

Manakala Rajagobal juga pernah beberapa kali membidas pemain pertahanan negara secara terbuka, namun ia tampak tidak mengubah keadaan malah menjadikannya lebih buruk.

Apapun, melihat kepada 5 gol yang dilepaskan pada perlawanan menentang Singapura, timbul 2 persoalan. Pertama, ke manakah hilangnya pemain pertahanan negara ketika barisan depan Singapura diketuai penyerang veteran, Aleksandar Duric bermaharajalela dan mempersenda benteng pertahanan yang seolah ‘tidak wujud’ sepanjang 90 minit permainan, dan kedua, prestasi Sharbini Allawee yang langsung tidak meyakinkan.

Umpamanya gol pertama itu sendiri mungkin boleh dielak jika Duric dikawal baik Fadhli, atau Sharbinee bertindak pantas merebahkan badan (automatic response yang perlu ada pada mana-mana penjaga gol), gol kedua pula Sharbini sekadar memerhati, membiarkan sahaja bola mengegar gawangnya, gol ketiga berpunca kegagalan awal Asrarudin yang seolah hilang arah tuju serta Muslim menyekat/mengawal pergerakan Mustafic manakala Sharbini tidak melakukan sebarang cubaan untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.


Gol keempat, PALING KETARA, bermula sekali lagi menerusi kesilapan Asrarudin, diikuti kegagalan Muslim dan Amar Rohidan, dilengkapkan MAHALI JASULI yang sekadar memerhati Shi Jiayi, tanpa mencabar langsung larian dilakukan penyerang itu.

Dan kelima, PEMAIN PERTAHANAN BOLEH DISAHKAN TIDAK WUJUD dalam permainan ini, apabila Mahali yang gagal menyekat pemain Singapura dari melakukan hantaran, langsung tidak berusaha untuk merampas semula bola berkenaan dari kaki Duric, hanya memerhati, dan cukup memalukan melihat seorang pemain berusia 41 tahun, melakukan turning semudah A,B,C untuk gol kelima.

Melihat situasi ini, apakah konklusi yang anda sebagai peminat HARIMAU MALAYA fikirkan, pada ketika bukan sahaja pertahanan, tetapi penjaga gol juga mempamer prestasi mengecewakan dan langsung tidak meyakinkan?
Kekecewaan terpancar dari raut wajah apek!!!



SS yakin Rizal Fahmi, atau Farisham Ismail (dua pilihan centreback lain) sendiri belum tentu dapat menggalas cabaran berat ini, apatah lagi dengan kekurangan pengalaman di pentas antarabangsa, manakala di gawang, Rajagobal perlu mempertimbangkan dengan serius sama ada mengekalkan Sharbini atau mengembalikan posisi no.1 kepada Apek, yang turut mengalami kemerosotan prestasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan