Pages

Rabu, 3 Ogos 2011

BANGKITLAH HARIMAU MALAYA


KEKECEWAAN disingkirkan Singapura minggu lalu mahu dipadamkan terus dari memori pemain Harimau Malaya apabila ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal mencari ‘mangsa’ untuk membangkitkan kembali moral anak-anak buahnya.
Satu perlawanan persahabatan antarabangsa diatur dengan Oman-salah satu pasukan yang layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia-akan ditentang Harimau Malaya pada Rabu depan di gelanggang lawan diikuti satu lagi perlawanan namun tarikh sebenar dan pasukan mana masih belum diputuskan lagi.

Kapten Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim mengharapkan keputusan yang positif dapat dicapai walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan.
“Moral rakan-rakan agak rendah ketika ini namun kekecewaan itu (disingkirkan Singapura) perlu dilepaskan dan kami perlu bergerak ke depan. Kita tidak boleh mengubahnya, cuma apa yang boleh dilakukan sekarang adalah membaiki kekurangan yang ada untuk membina sebuah pasukan yang mantap.

“Anggaplah ia sebagai satu proses pembelajaran dan pengalaman yang berguna,” katanya mengenai kekalahan agregat 6-4 Harimau Malaya ke Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014.

Untuk kem latihan pusat yang bermula esok, Rajagobal memanggil sejumlah 25 pemain termasuk beberapa muka baru seperti dua pemain Kuala Lumpur, Norazlan Razali dan Mohd Shahrom Abdul Kalam selain beberapa pemain berpengalaman yang beraksi cemerlang ketika menentang Chelsea tempoh hari iaitu Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Farizal Marlias dan Joseph Kalang Tie.


Tujuh pemain Olimpik negara disisihkan -Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Shas, Mahali Jasuli, K Gurusamy, Ahmad Fakri Saarani dan Izzaq Faris Ramlan -yang berkemungkinan besar bakal menyertai latihan pusat di bawah bimbingan jurulatih Ong Kim Swee di Slovakia dalam masa terdekat.

Turut tersisih dalam kem pusat kali ini adalah dua tonggak utama Harimau Malaya iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak yang masih mengalami kecederaan selain penjaga gol ketiga negara, Mohd Nasril Nourdin


0 Kritikan:

Catat Ulasan