NICE

Rabu, 24 Oktober 2018

DUA ANGGOTA POLIS MAUT KERETA PERONDA TERBABAS DI LPT

KEMALANGAN MAUT: Dua anggota Polis maut selepas kereta Polis yang dinaiki terbabas di KM 183 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan berdekatan Maran dekat Maran, semalam. — Gambar Bernama


Dua anggota polis maut selepas kereta peronda yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 183.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Maran, semalam.


Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman berkata, mangsa yang maut ialah Sarjan Mejar Roslan Maon, 50, dan Konstabel Watson Edin, 23, yang memandu kereta itu.

Kedua-dua mereka, yang bertugas di cawangan Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, dalam perjalanan dari Bentong ke Kuantan apabila kemalangan berlaku pukul 3.20 petang,

"Mangsa dalam tugas pemantauan mengiringi Ops QUPI iaitu kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 semasa kejadian.

"Kereta peronda dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu melanggar penghadang jalan menyebabkan kenderaan itu terperosok ke bawah penghadang jalan berkenaan.

"Impak kemalangan menyebabkan Roslan tercampak keluar dari kenderaan manakala Watson tersepit," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.

Norzamri berkata kemalangan dipercayai berlaku akibat keadaan jalan yang licin memandangkan cuaca semasa itu hujan dan lokasi kejadian baharu melepasi selekoh.

Beliau menambah pihaknya meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, kedua-dua mangsa yang telah berumahtangga dihantar ke Hospital Jengka, Maran untuk bedah siasat.

Sementara itu, anak kepada seorang anggota polis yang terkorban dalam kemalangan di Km183 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Gambang petang semalam, tidak menyangka perbualan dengan ayahnya sebelum subuh tadi menjadi perbualan terakhir mereka dua beranak.

Khairul Nizam Roslan, 24, anak kedua Allahyarham Sarjan Mejar Roslan Maon, 50, berkata ketika itu baru sahaja 4 pagi menyebabkan dia hairan mengapa ayahnya bersiap terlalu awal untuk pergi bekerja.

"Ayah ketika itu maklumkan dia perlu keluar awal kerana perlu sampai ke Bentong sebelum 6 pagi disebabkan tugasan mengiring kertas soalan peperiksaan (Sijil Pelajaran Malaysia – SPM).

"Bagaimanapun ketika 4 petang tadi, adik beritahu ada seorang anggota polis menelefon dan memberitahu ayah sudah tiada selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jengka malam tadi.

Menurutnya dia merasakan perkara itu seolah-olah seperti mimpi kerana baru sahaja berbual pagi tadi dengan ayahnya, namun reda dengan kejadian berkenaan.

Khairul Nizam yang masih belajar Universiti Malaysia Pahang kampus Gambang, berkata jenazah dijangka dibawa pulang ke kediaman mereka di Kuantan malam ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, pagi ini.

Mendiang Watson pula yang baru bertugas tiga tahun meninggalkan seorang balu Natasha Elsy Anak Juta, 20 tahun.

Mendiang dijangka diterbangkan ke Sarawak hari ini untuk disemadikan di kampung halamannya.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan