NICE

Rabu, 2 Disember 2015

LIMPAHAN AIR LUMPUR DI CHERAS
Kuala Lumpur: Penghuni pangsapuri di Taman Desa Cheras, di sini, gempar sejurus kediaman mereka ditenggelami banjir lumpur berpunca dari bukit berhampiran.

Dalam kejadian jam 6.15 petang semalam, limpahan air lumpur dari lereng bukit berhampiran turut memasuki rumah penduduk di tingkat paling bawah kediaman.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mendakwa berlaku tanah runtuh dan kanak-kanak dihanyutkan arus banjir.
“Siasatan polis di lokasi kejadian mendapati tidak berlaku runtuhan tebing bukit atau kanak-kanak lemas.
“Pihak kami mendapati hanya limpahan air lumpur dari kawasan bukit bersebelahan blok kediaman itu,” katanya.
Menurutnya, semua mangsa terbabit dalam kejadian itu penghuni tingkat bawah pangsapuri berkenaan.
“Pihak kami membuat tinjauan di atas bukit bersebelahan pangsapuri itu dan mendapati terdapat tapak projek pembinaan banglo mewah dan kediaman semi-D berkeluasan 47 ekar,” katanya.
Chong berkata, pemeriksaan selanjutnya di lokasi itu mendapati pokok di kawasan lereng bukit ditebang dan bukit turut digondol.
“Situasi itu menyebabkan berlaku limpahan air hujan dari atas bukit yang membahayakan penduduk pangsapuri itu.
“Susulan itu kami mengadakan perbincangan bersama pengurus projek perumahan berkenaan bagi mengatasi masalah itu,” katanya.
Beliau berkata, hasil perbincangan itu pihaknya mengarahkan pemaju membuat saluran atau longkang sementara supaya air tidak melimpah ke pangsapuri itu.
-SUMBER-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan